BAITULMUQADDIS: Seorang remaja Palestin terbunuh semasa pertempuran tentera Israel dengan penduduk di Tebing Barat.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, Mohammad Said Hamayel, 15, maut berdekatan Beita, di selatan Nablus.
Mohammad Said merupakan kanak-kanak Palestin kelapan yang dibunuh tentera Israel tahun ini dan yang ketiga di Beita.
Berpuluh-puluh penduduk Palestin mengadakan demonstrasi menenantang hasrat Israel meluaskan penjajahan mereka sehingga mengorbankan tanah penduduk.
Menteri Kesihatan Palestin berkata, seramai enam individu lain mengalami kecederaan selepas ditembak.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, melaporkan tentera Israel menyerang penduduk dengan tembakan gas pemedih mata serta menggunakan peluru hidup dan peluru getah.
Kehidupan 17 keluarga Palestin yang bergantung kepada tanaman minyak zaitun sejak turun temurun di perkampungan itu terancam dengan pengusiran secara paksa oleh Zionis Israel.